Hi, Selamat Datang ke blog KISAH AIRIEL - My Life . Segala isi di dalam blog ini adalah berkisar mengenai kehidupan seharian aku. Segala gambar, informasi, kata pujangga, madah dan sebagainya adalah hak milik aku kecuali bila ianya dinyatakan sumbernya. Terima kasih dan selamat membaca.

Coretan Ku Kembali...

Sudah lama rasanya aku tidak menggunakan medium blog ini untuk menjadi tempat aku meluahkan rasa. Kesibukan dan pelbagai masalah yang perlu diselesaikan, menuntut kehidupanku yang agak kucar-kacir menjadi lebih kelam-kabut. Adakalanya terasa sudah letih dengan ujian dan dugaan. Tapi inilah hamanya kehidupan...

Rasanya aku sudah bercuti kira-kira hampir 3 bulan. Aku menghabiskan masa di kampung. Maklumlah, aku bila dah mula kerja, memang susah nak balik kampung. So, aku gunakan kesempatan ini dengan sebaik-baiknya untuk menghabiskan masa dengan ibu bapa aku. Aku pun tak pasti adakah aku akan berkesempatan lagi pulang ke kampung. Mungkin nanti kerana sibuk dengan kerja atau mungkin juga ajal yang akan menjemput.

Ramai yang bertanyakan di mana aku sekarang. Terima kasih kepada yang bertanya dan mengambil berat akan keadaan aku. Tiada apa sangat yang aku lakukan semasa bercuti di kampung. Hanya berehat dan menikmati masakan ibu yang sememangnya lazat. Kalau dulu sebelum cuti, berat badan aku 65 kg, sekarang rasanya sudah menjadi 75 kg. But masih ok dengan ketinggian aku. Masih juga aku sibuk dengan urusan kerja yang masih tertunda. Selain sibuk menguruskan dokumentasi untuk kes aku di mahkamah. Apa pun, semuanya sudah aku serahkan kepada team lawyer aku untuk mengambil tindakan selanjutnya.

 (gambar terkini aku)

Peneman setia aku semasa bercuti di kampung adalah laptop dan internet. Kalau tidak, rasanya aku boleh jadi "kurang normal". Beginilah aku, hidup dengan bertemankan laptop dan internet, itu sudah memadai bagi aku. Sebab itu ramai yang kata aku jenis lelaki yang akan jadi "forever alone". Mungkin benar tetapi aku nikmati hidup ini. Walaupun penuh dengan dugaan dan keperitan, aku tetap syukurinya.

Di kampung, jumpa dengan member-member lama, sudah terlalu banyak perubahan. Malah ada yang tidak mengenali aku lagi. Tapi, rata-rata mengatakan wajah aku masih kelihatan muda jika nak dibandingkan dengan usia aku (statement ni aku keluarkan di saat aku terasa amat poyo). Ada juga sekali dua aku luangkan masa dengan mereka dengan bermain snooker. Menjamah asam pedas di pekan Parit Jawa sememangnya amat menyelerakan. Sesekali menghabiskan masa di tepi Pantai Leka, Parit Jawa.

Teringat kisah di Pantai Leka, semasa aku sedang duduk di kerusi menghadap ke kuala. Datang satu group budak-budak muda yang kononnya menunjuk lagak samseng. Dengan lagak gaya samseng, salah seorangnya datang kepada aku,

"Abang, boleh duduk tempat lain tak? Aku dengan geng-geng aku nak lepak kat sini. Ni port kita orang...", sambil gelak sinis gayanya.

Aku cuma memandang dan berkata, "Aku dah lama duduk kat sini. Korang pajak ke tempat ni?".

"Ala bro, blah je la. Pergi duduk kat taman permainan tu ke. Banyak lagi tempat lain boleh duduk. Kita orang nak lepak kat sini", kata seorang kawannya pula sambil menunjukkan wajah garang. Maklumlah, ada awek yang diboncengnya di motornya.

"Korang pergi lepak kat sana. Jangan ganggu aku. Atau korang nak aku tunjukkan jalan ke sana?", balas aku masih dengan hati yang tenang.

"Eh, kerek la bro ni. Jangan sampai aku heret ko pulak. Orang luar tu, buat la cara orang luar", jawabnya dengan garang.

Mereka dah mula mengelilingi aku. Mujurlah Ah Boon lalu di situ dan ternampak aku. Dia pun datang kepada aku.

"Along, apa hal? Lu ok?", Ah Boon bertanya kepada aku.

"Wa ok. Ini budak manyak kurang ajar. Lagi mau sound wa suruh wa pergi tempat lain. Dia kata wa orang luar.".

"Haiya, budak-budak. Chow la. Jangan bikin kecoh sini maaa.. Lu budak-budak lagi. Talak kenal ini Along meh?", Ah Boon cuba meleraikan situasi. Kebetulan pula budak-budak Ah Boon pun sampai. Ada la 5,6 orang. Ah Siang pula menegur aku.

"Waa, Along. Lama talak jumpa. Mana lu pergi? Jom wa belanja lu main snooker. Wa mau repeat. Mau ambik balik wa punya 1 ribu. Ada berani? Hahaha", Ah Siang yang memang berlagak suka bergurau dengan aku.

Budak-budak samseng tadi pun pergi dari situ setelah melihat semakin ramai taiko-taiko Pantai Leka datang.

"Jom la, Ah Siang. Wa temankan lu main snooker. Wa dah dekat 5 tahun tak main snooker sangat. Bagi wa muka sikit maaa... Lu tak mau join ke Ah Boon?".

"Wa ada hal sikit. Mau jumpa orang. Lu kasi makan ini Ah Siang la dulu. Lain kali, wa pulak. Wa chow dulu".

"Ok, Ah Boon. Terima kasih. Lain kali wa jumpa lu lagi", sambil aku bersalam dengan Ah Boon.

Ah Boon dan Ah Siang adalah antara member-member aku semasa aku aktif bermain snooker. Usia remaja aku banyak dihabiskan di pusat snooker. Malah adakalanya aku tidur di pusat snooker terutama bila ada masa cuti. Mereka berdua yang banyak mengajar aku bermain snooker dan aku rapat dengan mereka terutamanya Ah Siang memandangkan pernah bekerja di satu tempat yang sama.

Itulah "kisah yang menarik" semasa aku bercuti di kampung. Aku cuba menikmati suasana kampung dengan sepuasnya.

InsyaAllah, selepas ini akan kembali sibuk dengan kerja. Mungkin tahun hadapan baru berkesempatan pulang semula ke kampung. Bila di kampung, teringat banyak kenangan-kenangan lampau. Kenangan kenakalan aku sudah tentu lebih banyak untuk aku ingati. Aku dulu teramatlah "terjal". Nakalnya, Nauzubillah...

Cuma aku masih belum berkesempatan untuk pergi ke Persantren aku di Serom. Aku belum terbuka hati lagi untuk menjenguk adik-beradik seperguruan silat. Mungkin kepulangan yang akan datang, aku akan menjenguk mereka.

Aku rasa, setakat ini dulu aku berceloteh. Seperti biasa, kisah aku tiada apa yang menarik. Semuanya membosankan. Buat teman-teman yang sudi bertanyakan khabar, terima kasih. Buat mereka-mereka yang pernah hadir dan menemani diri ini, juga terima kasih. Aku amat menghargai kalian. Terima kasih... Adios...

Read more